Georgetown: Sebahagian siling bangunan warisan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang baru selesai menjalani kerja pemuliharaan runtuh ketika cuti hujung minggu Deepavali, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap aspek keselamatan serta desakan supaya siasatan dijalankan.

Susulan kejadian itu, bangunan berkenaan diarah dikosongkan serta-merta dan ditutup selepas didapati tidak selamat untuk digunakan.

Peguam kanan, RSN Rayer, menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang memalukan dan amat mengecewakan, memandangkan bangunan berkenaan baru dibuka semula selepas menjalani projek pemuliharaan besar-besaran bernilai RM18 juta.

Kerja pemuliharaan itu disiapkan pada Julai 2024, manakala bangunan berkenaan dibuka semula pada Ogos 2025.