GEORGETOWN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang mengenal pasti 31 'lokasi panas' tanah runtuh di negeri ini, kebanyakannya di daerah Timur Laut dan Barat Daya.

Pengarah JBPM Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata lokasi dikenal pasti itu ialah di Paya Terubong, Tanjung Bungah dan Batu Ferringghi.

"Ia berdasarkan pengalaman kita sebelum ini menangani kes di kawasan berkenaan," katanya

Beliau berkata demikian ketika lawatan bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan agensi serta jabatan berkaitan ke Taman Seri Rambai di Paya Terubong, bagi meninjau situasi semasa selepas kejadian tanah runtuh yang mengorbankan seorang lelaki warga emas semalam.