KUCHING: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) sedang meneroka penambahan perkhidmatan penerbangan dan bas ekspres sebelum dan selepas hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 bagi memudahkan rakyat negeri ini pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
MOTS dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pihaknya sudah menghubungi syarikat penerbangan dan pengendali bas ekspres untuk melihat kemungkinan menambah perkhidmatan, terutama penerbangan antara Semenanjung dan Sarawak.
Langkah itu mengambil kira ramai rakyat Sarawak yang bekerja di pelbagai negeri di Semenanjung selain Singapura dan Sabah, dan dijangka berdepan kesukaran mendapatkan pengangkutan pulang ketika permintaan perjalanan meningkat menjelang pilihan raya.









