KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) meletakkan matlamat mempertahankan kerusi penyandang sedia ada sebagai asas, di samping menyasar peluang merampas beberapa kerusi berpotensi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata perkara itu antara yang dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH petang tadi bagi memperincikan persediaan jentera gabungan itu.

"Kita (PH) lihat garis asas kita adalah kerusi yang ingin kita kekalkan. Pada masa yang sama, kita sedang mengintai peluang keemasan untuk merampas beberapa kerusi.

"Jadi, sekiranya usaha dan ikhtiar kita dan strategi yang kita manfaatkan kena pada tempatnya, tidak mustahil kita mampu membawa perubahan. Kita sasar, kita realistik, kita faham keadaan tetapi kita lihat ada beberapa perkara yang membolehkan kerusi-kerusi yang kita sasarkan ini untuk berpindah kepada PH," katanya.