JAKARTA: Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia akan mengadakan perbincangan teknikal dengan rakan sejawatnya dari Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), berhubung tawaran Putrajaya membabitkan pesawat dan anggota bagi membantu memadamkan kebakaran hutan dan tanah di Indonesia.
Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana BNPB, Berton Panjaitan berkata perbincangan teknikal itu, yang diselaraskan oleh Kementerian Luar Indonesia, akan merangkumi aspek kesesuaian bantuan, kesiapsiagaan penugasan, keperluan logistik serta prosedur keselamatan penerbangan.
"Perbincangan itu juga akan meneliti sokongan alternatif sekiranya asap tebal dan jarak penglihatan terhad menjejaskan operasi pemadaman kebakaran melalui udara," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.








