Alor Gajah: Penyambungan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dari Banting, Selangor ke Masjid Tanah antara perkara yang dibincangkan Jemaah Menteri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata jika direalisasikan, jajaran baharu lebuh raya berkenaan bukan sahaja mengurangkan kesesakan lalu lintas, malah menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di kawasan yang terlibat dengan projek itu.
"Sekarang ini jajaran yang telah siap adalah dari Taiping ke Banting, Selangor. Selepas ini, insya-Allah daripada Banting sampai ke Masjid Tanah, sampai ke Batu Pahat, sampai ke Pontian, ia akan melalui Masjid Tanah.
"Datuk Rauf (Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh)… ini perbincangan kita dulu. Lebuhraya Pantai Barat bukan sahaja dari Pontian, Batu Pahat dan Muar, ia akan sampai ke Masjid Tanah ini. Kita mulakan daripada Masjid Tanah ke Banting terlebih dahulu, insya-Allah," katanya.








