Kuala Nerang: Jenazah anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, yang maut dalam insiden perlanggaran bot di perairan Perlis, selamat dikebumikan malam tadi.
Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tengku Sarafudin Badlishah di sini pada 9.45 malam dengan istiadat pengebumian dilaksanakan APMM sebagai penghormatan terakhir.
Terdahulu, jenazah tiba di masjid berkenaan pada 8.41 malam dengan van jenazah dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar selepas selesai proses bedah siasat.
Solat jenazah yang diimamkan Mohd Izhar Zakaria disertai ratusan jemaah terdiri daripada ahli keluarga, penduduk setempat dan anggota APMM.








