KUALA NERANG – Jenazah Laskar Kanan Maritim (Teknikal), Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, yang maut dalam operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kuala Sungai Padang, dekat Kuala Perlis selamat dikebumikan malam ini.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tengku Sarafudin Badlishah, di sini dengan istiadat pengebumian dan kawalan jenazah oleh anggota Maritim Malaysia (APMM) kira-kira pukul 9.45 malam ini.
Sebaik selesai pengebumian, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah menyerahkan Jalur Gemilang kepada bapa arwah bagi mengenang jasa bakti dan sumbangan Allahyarham kepada agensi serta negara.
Kedua-dua anak arwah iaitu Rayyan Shakimi, 14, dan Muhammad Rizqy Shazarin, 11, dilihat hadir pada pengebumian tersebut.









