Kangar: Empat anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dipercayai tercampak dari bot dinaiki mereka selepas terlanggar tembok di pesisir pantai di Sungai Padang, di sini.

Dalam kejadian pada 12.30 tengah malam itu, Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, yang bertugas di Unit Perisikan Ibu Pejabat APMM Kedah/Perlis, disahkan meninggal dunia, manakala tiga lagi anggota dilaporkan cedera.

Insiden itu dipercayai berlaku ketika anggota berkenaan menjalankan operasi pemantauan dan kawalan sempadan di perairan negeri itu.

Difahamkan, mereka mengejar sebuah bot yang disyaki membawa sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar sebelum bot peronda dinaiki dipercayai terlanggar tembok pesisir pantai itu.