Kuala Lumpur : Pelakon, Datin Sofia Jane menganggap tanggapan dirinya bersikap cerewet atau 'demanding' sebagai isu lapuk yang tidak relevan lagi, sebaliknya menegaskan tuntutan utamanya adalah terhadap skrip dan karya bermutu tinggi.
Sofia, 54, menjelaskan 'tuntutan' berkenaan bukannya meletakkan kadar bayaran melampau, sebaliknya mahu menuntut kualiti penulisan yang mampu memberi impak kepada industri seni tempatan.
"Bagi saya, perkataan 'demand' itu dah terlalu lapuk. Dari usia saya 20 tahun lagi saya asyik diajukan soalan yang sama. Saya kurang jelas apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan 'demand'?
"Sebagai penonton, pelakon dan orang dalam industri, kita harus menuntut penulisan yang baik. Itu adalah 'demand' sebenar pada sudut pandang saya iaitu mahukan penulisan baik, teks yang bermutu dan karya yang bagus kerana saya mahu menjadi sebahagian daripadanya," kata Sofia ketika ditemui pada sesi temu bual eksklusif sempena pementasan teater solo pertamanya, Thrown, hari ini.









