KUALA LUMPUR: Label 'demanding' atau cerewet yang diberikan kepadanya sejak berusia 20 tahun masih menjadi persoalan buat pelakon berkaliber, Datin Sofia Jane, sedangkan tuntutannya selama ini bukan berkaitan bayaran lumayan, sebaliknya mahukan naskhah dan skrip bermutu tinggi.
Sofia, 54, berkata tanggapan itu bukan perkara baharu, malah sudah berulang kali dibangkitkan sejak dia berusia 20 tahun, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai maksud sebenar istilah berkenaan dalam konteks kerjayanya.
"Bagi saya, perkataan 'demand' itu sudah terlalu lapuk. Sejak usia 20 tahun lagi, saya asyik diajukan soalan sama. Saya kurang jelas apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan 'demand'?
"Sebagai penonton, pelakon dan orang dalam industri, kita harus menuntut penulisan yang baik. Itulah 'demand' sebenar dari sudut pandang saya sebagai pelakon, iaitu mahukan penulisan, teks dan karya bermutu kerana saya mahu menjadi sebahagian daripadanya," katanya ketika ditemui pada sesi temu bual eksklusif sempena pementasan teater solo pertamanya, Thrown, di sini, pagi tadi.









