SINGAPURA: Indonesia akan menerima kunjungan diplomat tertinggi Singapura, ketika ketegangan antara kedua-dua negara jiran itu memuncak susulan jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan di Indonesia serta keputusan Jakarta mengurangkan bekalan gas ke republik berkenaan.

Kementerian Luar Indonesia memaklumkan lawatan itu akan berlangsung hari ini, namun Singapura belum mengesahkan kunjungan berkenaan.

Jakarta mengurangkan bekalan gas melalui saluran paip ke Singapura kira-kira lapan peratus mulai Sabtu lalu, dengan alasan langkah itu diambil bagi memastikan bekalan domestik mencukupi.

Keputusan itu dibuat beberapa hari selepas Menteri Tenaga Indonesia, Bahlil Lahadalia, mengancam untuk menyemak semula kontrak eksport dengan negara yang disifatkan sebagai 'tidak bekerjasama dan tidak menghormati Indonesia secara timbal balik'.