BATU PAHAT: Mahkamah Majistret Yong Peng di sini memerintahkan seorang bekas penuntut terbaik sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Pulau Pinang menjalani Perintah Kehadiran Wajib (PKW) selepas mengaku bersalah menjadi keldai akaun.

Majistret Mustaqim Sukarno membuat keputusan itu selepas mengambil kira pengakuan salah Muhammad Haikal Izwani Muhamad Hakimi, 24, selain rayuan serta hujahan kedua-dua pihak.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang juga graduan teknologi maklumat menjalani PKW selama dua jam sehari untuk tempoh sembilan bulan.

Tertuduh yang masih bujang didakwa dengan sengaja menyembunyikan wang RM10,000 milik seorang lelaki berusia 41 tahun ke dalam akaun bank yang didaftarkan atas namanya di sebuah rumah di Taman Bukit Perdana, di sini, pada 1 September tahun lalu dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan.