KUALA LUMPUR: Lebih satu daripada 10 lelaki pernah berhutang semata-mata untuk janji temu atau 'dating', demikian menurut laporan LEGASI Research.

Laporan bertajuk Tinjauan Perbelanjaan Janji Temu (Dating) di Malaysia mendapati 13.2 peratus responden lelaki pernah berhutang untuk janji temu, berbanding 4.9 peratus responden perempuan.

Hampir separuh responden tinjauan itu menganggap kos janji temu ketika ini mahal dengan 49.3 peratus menyifatkan aktiviti itu memerlukan perbelanjaan tinggi manakala hanya 13 peratus berpendapat sebaliknya.

Dapatan menunjukkan perbelanjaan janji temu berpotensi menjadi komitmen kewangan yang membebankan, khususnya bagi golongan muda yang sedang membina hubungan dan mengurus kewangan sendiri.