Tokyo: Legenda manga Jepun, Tetsuya Chiba, yang terkenal menerusi siri tinju ikonik Ashita no Joe, meninggal dunia pada usia 87 tahun, menurut penerbitnya pada Selasa, lapor AFP.
Karya Chiba sering mengisahkan perkembangan fizikal dan mental atlet muda dalam pelbagai sukan termasuk golf, tinju dan seni bela diri kendo, selain menggambarkan kehidupan masyarakat biasa di Jepun selepas perang.
Siri Ashita no Joe, yang diterbitkan dari 1960-an hingga 1970-an, mengisahkan seorang pemuda bermasalah yang mempelajari tinju ketika berada di pusat tahanan juvana sebelum meningkat dalam dunia tinju profesional dan terlibat dalam persaingan sengit.
Peminat pernah mengadakan upacara pengebumian selepas watak pesaing utama Joe meninggal dunia dalam cerita berkenaan.









