Shah Alam: Mahkamah Tinggi di sini, akan dimaklumkan pada 4 Disember depan, mengenai langkah seterusnya dalam saman fitnah bernilai RM150 juta yang difailkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peguam Dr Mahathir, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, beliau memohon kepada mahkamah supaya membenarkan anak guamnya menentukan hala tuju kes itu, memandangkan keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri itu pada masa ini.

"Kita semua sedia maklum mengenai keadaan Dr Mahathir. Saya memohon kepada mahkamah untuk memberikan beliau masa dan ruang bagi menentukan langkah seterusnya.

"Kami akan kembali ke mahkamah pada 4 Disember untuk pengurusan kes bagi memaklumkan mahkamah mengenai langkah beliau yang seterusnya," katanya.