KUALA LUMPUR: Keupayaan infrastruktur asas, khususnya bekalan air bersih, menjadi antara cabaran utama yang perlu ditangani bagi merealisasikan sasaran pertumbuhan ekonomi sehingga tujuh peratus setahun bagi gabungan negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis (SG4) menjelang 2050.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata tanpa kemudahan asas yang mencukupi, usaha mempergiat pembangunan ekonomi tempatan dan menarik lebih banyak pelaburan dikhuatiri berdepan kekangan.
Beliau berkata, ia sekali gus akan menimbulkan persoalan mengenai keupayaan empat negeri itu mencapai sasaran pertumbuhan yang ditetapkan.
Katanya, persoalan timbul mengenai kemampuan negeri itu mengembangkan ekonomi tempatan dan menarik lebih banyak pelaburan sekiranya kemudahan asas masih berdepan kekangan, termasuk rizab margin bekalan air Kedah yang dilaporkan berada pada paras sifar peratus.









