JOHOR BAHRU: Pernah mencatatkan jualan lebih 5,000 cawan dalam tempoh tiga hari, pengasas jenama Kopi Royale Johor menyasarkan pembukaan sebuah kafe dalam tempoh tiga tahun lagi bagi mengembangkan perniagaannya.

Pengasasnya, Nurul Afiqah Mazalan, berkata kejayaan mencatatkan rekod jualan berkenaan dicapai sewaktu menyertai program jelajah jualan di Muar, sekali gus membuktikan kopi kampung mendapat tempat dalam kalangan penggemar minuman berkenaan.

Beliau berkata, Kopi Royale Johor beroperasi di sebuah gerai di Bandar Seri Alam, dua di universiti Pasir Gudang dan sebuah pusat beli-belah di Kota Tinggi menerusi kerjasama dengan sebuah perusahaan makanan.

Sehubungan itu, Nurul Afiqah berkata sasaran seterusnya adalah untuk membuka sebuah kafe yang bukan sahaja menyajikan kopi tempatan, malah menawarkan pelbagai makanan dan pastri.