PETALING JAYA: Restoran Ashhryshoshedap bakal memperluas operasi perniagaannya ke Kuala Lumpur dalam tempoh dua tahun lagi selepas cawangan pertamanya di Nongchik Riverside, Johor Bahru, memperoleh pensijilan halal rasmi daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pemiliknya, Ashhry Atan berkata, pengiktirafan Jakim itu menjadi antara keutamaan perniagaannya bagi meningkatkan keyakinan pengguna terhadap aspek pemilihan bahan mentah, penyediaan makanan dan kebersihan.

Katanya, proses mendapatkan pensijilan itu memerlukan penelitian menyeluruh memandangkan restoran berkenaan menawarkan hampir 300 pilihan menu merangkumi minuman, hidangan utama dan pencuci mulut.

“Setiap bahan yang digunakan perlu melalui proses semakan, selain pihak restoran perlu menyediakan dokumen sokongan termasuk sijil halal berkaitan daripada pembekal.