Itu antara kata-kata seorang wanita hamil yang terlalu teruja ketika berpeluang menaiki kereta peronda polis selepas suaminya berusaha menunaikan permintaan yang disimpan sejak awal kehamilannya itu.
Lebih mencuit hati, wanita itu bukan sahaja enggan turun daripada kereta polis berkenaan, malah turut memeluk kenderaan itu sebaik sahaja keluar selepas selesai merasai pengalaman yang diidamkannya.
Detik mencuit hati itu dialami Nurul Asyira Zakaria, 23, yang sedang hamil lapan bulan anak sulung hasil perkongsian hidup bersama suaminya, Huzairi Mohd Tozamri, 31, yang bekerja sebagai kakitangan pentadbiran.
Pasangan yang menetap di Sendayan, Seremban itu berkongsi pengalaman berkenaan selepas Huzairi membawa isterinya menaiki kereta polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada 16 Oktober lalu.









