MANILA: Penggunaan tenaga solar di Filipina melonjak susulan perang Amerika Syarikat (AS)-Israel dengan Iran yang mencetuskan kenaikan harga tenaga global, mendorong semakin ramai pemilik rumah beralih kepada sumber tenaga alternatif bagi mengurangkan bil elektrik.

Perkembangan itu berlaku ketika Filipina berdepan antara kos elektrik tertinggi di Asia Tenggara, malah sebelum konflik berkenaan tercetus. Kos elektrik negara itu setanding dengan Singapura, yang mempunyai purata pendapatan lebih 10 kali ganda lebih tinggi.

Laporan badan pemikir tenaga, Ember, menganggarkan jumlah panel solar yang dipasang di atas bumbung bangunan di Filipina hampir berganda sejak awal 2025.

Lonjakan permintaan itu turut menyumbang kepada import panel solar bernilai AS$407 juta (RM1.6 bilion) dari China antara Mac hingga Mei, berdasarkan data perdagangan kerajaan negara itu.