BUKIT JALIL: Semangat puluhan ribu peminat yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam Sabtu, membuktikan hujan bukan penghalang untuk meraikan kehebatan irama tradisional bersama Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Menerusi Konsert Tradisional Gema Bumantara, kira-kira 70,000 penonton tetap setia memenuhi stadium meskipun dibasahi hujan renyai, sekali gus menyaksikan persembahan penuh warna-warni yang mengangkat keindahan muzik tradisional Malaysia.
Lebih menarik, rata-rata peminat hadir segak dan anggun mengenakan busana tradisional, selari dengan tema konsert yang mengetengahkan warisan seni dan budaya tempatan.
Memulakan persembahan tepat pukul 8.30 malam, Siti membuka tirai dengan aksi silat penuh bertenaga sebelum mendendangkan lagu Mahligai Permata.









