Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Konsert Tradisional Gema Bumantara oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, malam tadi sebagai satu persembahan indah yang berjaya mengangkat kekayaan warisan seni nusantara.

Beliau berkata, kehebatan persembahan penyanyi nombor satu negara itu terserlah apabila peminat tetap setia menyaksikan konsert berkenaan sehingga ke penghujung acara biarpun dalam suasana hujan.

"Walaupun hujan, semua yang hadir tetap setia hingga ke penghujung persembahan, hebat Datuk Seri Siti, hebat juga semangat peminatnya.

"Tahniah kepada Datuk Seri Siti dan seluruh pasukan produksi atas persembahan yang cukup istimewa dan penuh jiwa," katanya menerusi satu hantaran di media sosialnya, hari ini.