Hong Kong: Polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun kerana disyaki mencuri barangan mewah bernilai 450,000 dolar Hong Kong (kira-kira RM234,000) milik isterinya yang berusia 34 tahun di kediaman mereka, lapor South China Morning Post.

Wanita yang dikenali sebagai Chan itu membuat laporan polis kira-kira jam 8.30 pagi Sabtu selepas mengesyaki suaminya, Lam mencuri barangan berkenaan dari rumah mereka di perumahan Ocean One, Yau Tong.

Menurut polis, barangan yang dilaporkan hilang terdiri daripada beg tangan jenama Chanel dan Hermès bernilai 300,000 dolar Hong Kong (kira-kira RM156,000) serta jam tangan Rolex bernilai 150,000 dolar Hong Kong (kira-kira RM78,000)

Polis kemudian bergegas ke lokasi sebelum menahan Lam kerana disyaki mencuri selepas siasatan awal dilakukan.