Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada beregu wanita remaja negara Low Zi Yu dan Genevie Lim atas kejayaan cemerlang merangkul juara Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2026 di Kaherah, Mesir.

Beliau menyifatkan kejayaan gandingan muda itu sebagai satu pencapaian yang amat membanggakan serta melakar sejarah baharu bagi arena badminton tanah air.

"Satu pencapaian yang membanggakan! Tahniah Low Zi Yu dan Genevie Lim atas kejayaan muncul juara beregu wanita di Kejohanan Badminton Remaja Dunia. Satu sejarah baharu buat badminton negara!" kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar turut menitipkan pesanan agar kedua-dua pemain itu mengekalkan rentak kecemerlangan mereka demi menaikkan lagi imej negara di persada antarabangsa.