JELI – Seorang lelaki yang dipercayai melibas seorang anggota polis dengan sebilah parang sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan retak tangan kiri di Kampung Lalang Pepuyu dekat Tanah Merah, semalam direman empat hari.
Perintah reman yang bermula hari ini hingga Rabu terhadap lelaki berusia 30 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret, Tun Faez Fikhrie Tun Asrul Saini.
Tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah itu bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana melakukan cubaan membunuh.
Media semalam melaporkan, seorang anggota polis yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan parah dilibas dengan sebilah parang ketika menjalankan Ops Tapis Bersepadu Sempadan di Kampung Lalang Pepuyu.









