Kuching: Polis sedang mengesan dua lelaki menaiki motosikal yang dipercayai melanggar seorang anggota polis ketika sekatan jalan raya di Jalan Padungan, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, kejadian berlaku kira-kira 1 pagi semasa anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching itu sedang menjalankan tugas penguatkuasaan jalan raya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh, Seksyen 186 kanun sama kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian berkenaan.