PETALING JAYA – Aktivis masyarakat, Abbe Hae bersama 15 individu lain terpaksa bermalam di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu selepas dipanggil memberi keterangan berhubung tindakan mereka menerjah sebuah kedai yang didakwa menggaji warga asing.

Beliau yang juga Pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan berkata, dia hadir ke IPD Kota Bharu kira-kira pukul 3 petang semalam sebelum keterangannya diambil pihak polis.

Menurutnya, dia pada awalnya merancang untuk membantu seorang warga emas yang tinggal di pondok kecil tanpa dinding di Jalan Pantai Cahaya Bulan selepas selesai memberi keterangan.

Bagaimanapun, dia bersama 15 individu lain terpaksa bermalam di lokap sebelum dibebaskan pada tengah hari ini.