KUALA LUMPUR – Sebanyak 945 saman dikeluarkan, manakala 111 motosikal disita dalam Op Motosikal Bersepadu di Jalan Ampang, di sini, awal pagi tadi.

Operasi yang dijalankan dari pukul 3 pagi hingga 7 pagi itu dilaksanakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Superintendan Suffian Abdullah berkata, sebanyak 1,635 motosikal diperiksa sepanjang operasi berkenaan.

“Operasi ini melibatkan penunggang motosikal berusia lingkungan 15 hingga 25 tahun. Selain itu, satu tangkapan direkodkan manakala JPJ mengeluarkan 387 notis pelbagai hasil pemeriksaan yang dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.