KUALA LUMPUR: Lebih 1,600 penunggang motosikal 'masuk pukat' dalam operasi bersepadu membanteras samseng jalanan di Jalan Ampang di sini, awal pagi tadi, yang menyaksikan 111 kenderaan disita dan 945 saman dikeluarkan oleh polis.

Operasi empat jam bermula jam 3 pagi itu dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Superintendan Suffian Abdullah, berkata 111 motosikal disita mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala JPJ mengeluarkan 387 notis atas pelbagai kesalahan.

Mengulas mengenai penunggang motosikal bawah umur, Suffian berkata, ibu bapa mereka akan dipanggil polis bagi tindakan susulan.