Kuala Lumpur: Sebanyak 26 kawasan di seluruh negara mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat petang ini dengan Pasir Gudang, Johor merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 182.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), tujuh kawasan di Johor merekodkan bacaan tidak sihat, iaitu Kota Tinggi (179), Larkin (170), Pengerang (168), Batu Pahat (166), Kluang (161), Tangkak (158) dan Segamat (156).

Di Selangor, lima kawasan turut mencatat bacaan tidak sihat melibatkan Johan Setia (161), Shah Alam (157), Petaling Jaya dan Klang (masing-masing 154) serta Banting (152).

Di Negeri Sembilan, Nilai merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 170, diikuti Seremban (166) dan Port Dickson (152), manakala ketiga-tiga kawasan pemantauan di Melaka turut berada pada tahap tidak sihat, iaitu Bukit Rambai (166), Bandaraya Melaka (158) dan Alor Gajah (157).