Kuala Lumpur: Institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Pulau Pinang kembali dibuka dan beroperasi seperti biasa esok.

Di SELANGOR, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam kenyataan memaklumkan aktiviti luar ditangguhkan dengan murid yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka.

Pihak pentadbir sekolah pula perlu sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) serta memberikan perhatian khusus kepada murid berisiko tinggi.

"Ibu bapa atau penjaga yang bimbang tentang kesihatan anak-anak dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah dengan syarat memaklumkan perkara tersebut kepada pihak sekolah," menurut kenyataan itu.