Alor Gajah: Calon Pakatan Harapan (PH) perlu mempunyai jentera dan pasukan yang kuat, bukan sekadar rajin berkhidmat kepada rakyat bagi memastikan gerak kerja kempen lebih berkesan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan berkata, berdasarkan pandangan peribadinya, antara kelemahan yang perlu diberi perhatian adalah calon yang mempunyai rekod khidmat masyarakat baik, tetapi tidak membina pasukan untuk membantu mereka.

Menurutnya, calon tidak boleh bergantung kepada usaha sendiri semata-mata kerana mereka tidak mampu berada di banyak lokasi pada masa sama sepanjang tempoh kempen.

Katanya, terdapat calon yang bagus dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat, prihatin dan menjaga kebajikan, namun malangnya individu terbabit tidak mempunyai jentera atau pasukan untuk membantu kempen.