ALOR GAJAH: Calon Pakatan Harapan (PH) perlu mempunyai jentera serta pasukan yang kuat, bukan sekadar rajin berkhidmat kepada rakyat, bagi memastikan gerak kerja kempen lebih berkesan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan, berkata berdasarkan pandangan peribadinya, antara kelemahan perlu diberi perhatian ialah calon mempunyai rekod khidmat masyarakat yang baik tetapi tidak membina pasukan untuk membantu mereka.
Katanya, calon tidak boleh bergantung pada usaha sendiri semata-mata, kerana mereka tidak mampu berada di banyak lokasi pada masa sama sepanjang tempoh berkempen.
Beliau berkata, ada calon yang bagus dalam memberi perkhidmatan, prihatin dan menjaga kebajikan rakyat, namun malangnya tidak mempunyai jentera atau pasukan untuk membantu kempen.








