Seremban: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim memilih untuk tidak mengulas berhubung video tular memaparkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menegurnya secara terbuka di sebuah masjid di Kuala Pilah, Jumaat lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu secara tenang dan tersenyum sebaliknya memberitahu kepada media bahawa beliau ketika ini berada dalam keadaan baik.

"Saya okey saja. Tiada apa nak komen pun," katanya ringkas ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Pasukan Sepak Takraw Negeri Sembilan Antlers di sini, petang tadi.

Jumaat lalu, beberapa video yang dimuat naik di media sosial memaparkan Tuanku Muhriz dilihat memberitahu sekumpulan individu bahawa Ismail menulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dengan memaklumkan bahawa Baginda bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.