IPOH - Lebih 25,000 orang dari seluruh negara menziarahi pusara Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali sejak pemergiannya lebih tiga minggu lalu, sebagai tanda penghormatan terhadap jasa dan sumbangan tokoh wanita itu.Anak Allahyarham, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, jumlah pengunjung yang direkodkan dalam tempoh berkenaan disifatkan sebagai satu fenomena yang belum pernah berlaku sebelum ini.Menurutnya, pengunjung yang hadir bukan sahaja dari seluruh negara, malah ada yang datang dari Palembang, Indonesia meskipun tidak pernah bertemu Allahyarham secara peribadi."Saya dimaklumkan 25,000 orang datang dari merata tempat. Ini agaknya satu fenomena sebab mereka beritahu keadaan ini tidak pernah berlaku lagi."Setiap kali kami bawa ayahanda, Tun Dr Mahathir Mohamad ke pusara, apabila beliau melihat masih ramai orang datang, itu sedikit sebanyak mengubati rasa sedihnya kehilangan pasangan selama 70 tahun," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Negeri Perak 2026 di Dewan Banquet, Hotel Seri Malaysia di sini pada Ahad.Ketika berucap pada majlis berkenaan, Mukhriz mengimbau beberapa momen perbualannya dengan pengunjung dan mendapati mereka terpanggil untuk menziarahi pusara ibunya kerana mengenang jasa serta perjuangan Allahyarham sepanjang hayatnya.Jelasnya, ada pengunjung yang sanggup mengambil cuti daripada pekerjaan semata-mata untuk menziarahi pusara Allahyarham, membaca surah Yasin, bertahlil dan mendoakan kesejahteraannya.Menurutnya, penghormatan yang diberikan masyarakat itu membuktikan sumbangan Allahyarham sebagai seorang doktor yang berkhidmat kepada masyarakat, khususnya penduduk luar bandar, terus dikenang sehingga kini.Beliau berkata, Allahyarham yang pernah berkhidmat sebagai doktor turut memainkan peranan dalam membantu wanita di luar bandar, termasuk memberikan pengetahuan kepada bidan mengenai proses kelahiran dan penjagaan bayi yang baru dilahirkan."Bagi seorang wanita yang berjuang sejak usia muda sebagai doktor, beliau membantu masyarakat luar bandar dan mengajar bidan bagaimana membantu wanita bersalin serta menjaga bayi yang baru dilahirkan."Banyak lagi perkara yang menyebabkan mereka terpanggil untuk datang walaupun tidak pernah bertemu atau mengenali Allahyarham secara rapat, tetapi mahu memberikan sedikit penghormatan," kata Presiden Pejuang itu.Mukhriz berkata, legasi perjuangan dan khidmat bakti ibunya wajar dijadikan teladan khususnya kepada ahli Pejuang dalam memastikan sumbangan kepada masyarakat terus dikenang.Katanya, penghormatan yang diberikan orang ramai terhadap Allahyarham sehingga ke usia 100 tahun membuktikan bahawa jasa dan pengorbanan seseorang akan terus hidup dalam ingatan masyarakat.Beliau berkata, legasi itu perlu diteruskan melalui gerak kerja dan semangat perjuangan parti supaya sumbangan mereka turut meninggalkan kesan bermakna kepada rakyat.