Alor Setar : Wakil skuad bola sepak wanita dari utara, Red Eagles Soccer Club (RESC) memiliki strategi terbaik untuk menghadapi cabaran lebih hebat pada pusingan separuh akhir Liga Wanita Nasional (LWN) yang akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Subang Jaya pada 24 Oktober ini.

Kedudukan RESC pada tangga keempat liga dengan pungutan 10 mata melalui 10 perlawanan memberi sinar terbaik dalam meneruskan cabaran separuh akhir menentang Sabah FA yang kini mengungguli carta dengan 26 mata sebaik menamatkan aksi kumpulan semalam.

Ketua Jurulatih RESC Firdaus Azid berkata, skuadnya yang berkedudukan empat terbaik dalam carta liga kini memberi tumpuan bagi menghadapi cabaran sengit daripada tiga lagi pasukan teratas liga iaitu Sabah FA, Selangor FC dan Kelana United FC yang dianggap skuad-skuad pilihan ke pentas final kejohanan ini.