Shah Alam: Muamalat Bullets membuktikan status mereka sebagai kuasa besar ragbi korporat apabila menewaskan MBSA Blue Pelican 17-6 pada aksi final Corporate Super Rugby Championship (CSR) 2026, sekali gus merangkul kejuaraan ketiga dalam tempoh empat musim.

Lebih manis, kejayaan itu hadir selepas Bullets menebus kekalahan kepada Blue Pelican pada peringkat liga, sekali gus memadam rekod tanpa kalah lawan mereka yang hadir ke final dengan keyakinan tinggi.

Ketika Blue Pelican mengharapkan rekod cemerlang itu mampu diteruskan hingga ke pentas final, Bullets tampil lebih tenang dan berdisiplin untuk mengawal permainan sebelum memastikan trofi kejuaraan menjadi milik mereka.

Pemain forward Bullets, Muhammad Danial Hamidi menjadi watak penting apabila mencetak satu-satunya try pasukannya, sekali gus dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) perlawanan.