KUALA TERENGGANU: Ketua jabatan sektor perkhidmatan awam disaran mempertimbang penugasan mengikut dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) dengan mengambil kira keadaan jerebu di negeri masing-masing.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata pelaksanaan dasar itu boleh dimanfaatkan berikutan kebetulan masalah jerebu kini berlaku ketika HBH berkuat kuasa sejak 1 Ogos lalu.

Sehubungan itu, beliau berkata, ketua jabatan di negeri terjejas jerebu boleh membenarkan penjawat awam bertugas mengikut sistem HBH.

"Ketua jabatan perlu menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi memastikan input penjawat awam diberi keutamaan walaupun bekerja secara hibrid di rumah," katanya.