JOHOR BAHRU: Skuad remaja kebangsaan tidak berdepan masalah untuk menjinakkan China 3-0 dalam aksi Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun (B-21) Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, sebentar tadi.

Skuad Young Tigers kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin turun pada aksi pertama SOJC, hampir mencipta jaringan seawal minit keempat selepas bola umpanan T Naveennash Panicker membuka ruang Rahuul Fazrien Nazrien menyusup masuk ke dalam kawasan D namun bola tolakannya berjaya ditepis penjaga gol China, Zhang Zhiyuan.

Bagaimanapun usaha merobek gawang anak didik Cui Yongxin hanya berhasil selang seminit kemudian pada suku pertama perlawanan selepas kapten Nabil Irfan Mohd Yusof menyempurnakan pukulan sudut penalti menewaskan Zhiyang untuk gol pertama Young Tigers.