Butterworth: Selepas lebih tujuh dekad menanti, penduduk Kampung Manis di sini, bakal menikmati penempatan baharu apabila kawasan yang didiami akan dibangunkan semula menerusi projek Rumah Mutiaraku (RMKu), hasil kerjasama antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pemaju.
Exco Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S Sundarajoo berkata, 174 keluarga yang masih menetap di atas tanah berkenaan akan menerima sebuah unit rumah secara percuma sebagai rumah gantian.
Beliau berkata, rumah ditawarkan bukan rumah kos rendah seperti kebiasaan, sebaliknya unit berkeluasan 850 kaki persegi dengan harga jualan oleh Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang adalah RM250,000.








