SEPANJANG dua dekad dalam industri muzik yang penuh onak dan duri membuatkan Faizal Tahir kerap kali terfikir untuk berhenti, namun setiap kali itu juga ada suara di sekelilingnya yang menguatkan beliau untuk meneruskan perjalanan sebagai anak seni.Pemilik nama sebenar Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 48, berkata, sokongan keluarga, rakan, peminat dan mereka yang sentiasa percayakannya antara sebab beliau terus bertahan dan melangkah dalam industri muzik hingga kini."Dua puluh tahun dalam industri bukan sesuatu yang mudah. Saya fikir nak bersara banyak kali dah, tapi ramai tak bagi saya bersara lagi," katanya ketika menjayakan konsert Faizal Tahir: Suara Rakyat di Unifi Arena di sini pada Sabtu.Konsert anjuran Faithful Music dengan kerjasama Hitman Solutions itu bukan sekadar meraikan perjalanan dua dekad Faizal Tahir dalam industri muzik, tetapi turut menjadi pentas untuk beliau bertemu peminat menerusi rangkaian karya yang mewarnai perjalanan seninya.Menghidupkan suasana dewan seawal tirai konsert dibuka pada jam 8.30 malam menerusi lagu Batu dan Golek, bapa kepada tujuh cahaya mata itu tidak menoleh ke belakang ketika menyampaikan kira-kira 30 lagu lagi sepanjang persembahan."Terima kasih buat semua yang hadir malam ini. ALLAH SWT berkati anda semua, itu sahaja doa yang saya mampu katakan. Tanpa anda semua, tiada Suara Rakyat hari ini," katanya.Lagu-lagu yang dipersembahkan termasuk Gemuruh, Assalamualaikum, Santai, Negaraku, Aku Berjanji, Kasih Tercipta dan Cuba, yang mengajak penonton menyanyi bersama-sama dan mengimbau kembali fasa berbeza dalam perjalanan muziknya.Yang turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, (MAPIM) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.Faizal turut menggunakan pentas itu untuk menyampaikan mesej yang lebih besar apabila mengajak penonton supaya tidak melupakan penderitaan rakyat Palestin.Beliau kemudian memimpin bacaan doa khas sebelum menyampaikan lagu Biar Satu Dunia Tahu yang didedikasikan buat saudara di Palestin."Dalam pada kita berkumpul hari ini, jangan sesekali kita lupakan saudara kita yang sentiasa ditindas iaitu di Palestin. Ini atas dasar kemanusiaan tanpa mengira di mana jua kita berada," katanya.Malam itu turut menjadi lebih istimewa dengan kemunculan Mirwana, kumpulan nasyid yang pernah disertai Faizal, membawakan dua lagu termasuk Aku Tanpa Cintamu sebelum penyanyi legenda Datuk M Nasir membuat kejutan menerusi persembahan Campak Bintang.M Nasir menyifatkan Faizal sebagai antara bakat yang sudah mempunyai tempat tersendiri dalam industri muzik tempatan, sambil berseloroh bahawa kehadiran penyanyi itu membolehkan beliau "berehat"."Bila Faizal Tahir sudah ada dalam industri, saya dah boleh relaks," katanya yang disambut gelak tawa dan sorakan gemuruh penonton.Kejutan itu menambah warna kepada konsert yang sejak awal memperlihatkan hubungan dua hala antara Faizal dan peminatnya yang setia di belakang penyanyi tersebut.Menjelang penghujung persembahan, sorakan "We want more" bergema di seluruh dewan, seolah-olah menjadi jawapan paling jelas kepada pernyataan Faizal untuk bersara sebelum ini.Peminat ternyata masih belum bersedia untuk membiarkan perjalanan itu berakhir apabila Faizal kembali ke pentas untuk mendendangkan Mahakarya Cinta dan Bila Lagi Nak Jumpa sebagai penutup.Selepas 20 tahun, mungkin hasrat untuk bersara masih sesekali hadir, namun melihat sambutan peminat pada malam itu jelas perjalanan Faizal Tahir di pentas muzik tempatan masih belum selesai.Seperti judul konsertnya, Suara Rakyat, mungkin bukan sekadar suara seorang penyanyi tetapi suara daripada mereka yang masih mahu mendengar Faizal Tahir terus menyanyi dan berkarya. - Bernama
Selepas dua dekad, Faizal Tahir masih punya tempat di hati peminat

Key takeaways
Faizal Tahir, a 48-year-old singer, has been in the music industry for 20 years and has considered retiring several times, but has been supported by his family, friends, and fans.
- Faizal Tahir has been in the music industry for 20 years.
- He has considered retiring several times, but has been encouraged to continue by his supporters.
- Faizal Tahir performed at a concert at Unifi Arena on Saturday.
- The concert was a celebration of his 20-year career in the music industry.
Summarised automatically by AI from the original article by Sinar Harian. AI can make mistakes, so check the original for details.
Also reported by Utusan Malaysia
Story details
- Published
- Section
- BERITA
- Language
- Malay (Malaysia)
- Format
- Article
- Original
- sinarharian.com.my ↗
Related reporting
6 stories on this topic from 6 sources, oldest first.
- Sinar Harian Selepas dua dekad, Faizal Tahir masih punya tempat di hati peminat (this story)
- Utusan Malaysia Selepas dua dekad, aura Faizal Tahir tetap lekat di hati peminat








