DALAM industri muzik tempatan, penyanyi Faizal Tahir membuktikan muzik pop rock berteraskan cinta, kemanusiaan dan ketuhanan masih mempunyai tempat istimewa di hati peminat, meskipun landskap muzik terus berubah mengikut arus digital.
Justeru, Konsert Faizal Tahir: Suara Rakyat di Unifi Arena, Bukit Jalil malam Sabtu lalu, menjadi medan penyanyi itu memperagakan kekuatan muziknya selepas dua dekad bergelumang dalam industri.
Tanpa perlu menari mengikut trend TikTok atau bersandar gimik berlebihan, pemilik nama sebenar Ahmad Faizal Mohammad Tahir itu menghidupkan pentas menerusi vokal bertenaga, rangkaian lagu malar segar dan mesej sarat makna.
Di hadapan sekitar 10,000 penonton, penyanyi berusia 48 tahun itu mengemudi persembahan selama sekitar dua jam setengah dengan hampir 30 buah rangkaian lagu merentasi pelbagai fasa kerjayanya.









