Seremban: Seorang bapa menghasilkan sendiri beberapa alat khas menggunakan pencetak 3D, untuk anak istimewanya yang berdepan masalah pergerakan terbatas.
Antara alat yang dihasilkan Ameer Adzwan Rusli, 33 adalah kerusi roda kanak-kanak atau 'todler mobiliti trainer', alat bantu makan, alat apungan tangan dan penyokong kepala.
Anaknya, Muhammad Areeq Eilman Ameer Adzwan, 4, yang mesra dengan panggilan Eilman, disahkan menghidap Arthrogryposis Multiplex Congenital (AMC) iaitu sejenis penyakit jarang jumpa (RD), membabitkan sendi yang mengehadkan pergerakan sejak lahir.
Ameer Adzwan berkata, sebelum ini anaknya hanya duduk di kerusi kereta sorong bayi yang diubah suai, namun dia cuba mengambil inisiatif supaya anaknya mencuba untuk melakukan pergerakan sendiri dan menikmati kehidupan seperti kanak-kanak lain.







