TEHRAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, berkata langkah penjimatan dan pengurusan penggunaan tenaga telah membantu negara ini mengelakkan kekurangan bekalan bahan api.
Beliau berkata, perkara itu berjaya dicapai walaupun Iran berdepan penggunaan tenaga yang tinggi serta kesukaran memenuhi keperluan bahan api akibat perang ekonomi oleh Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Berucap pada mesyuarat Majlis Penerangan Kerajaan di Tehran pada hari ini, Pezeshkian berkata, Iran tidak lagi perlu mengimport gasolin.
Katanya, ia hasil kerjasama rakyat yang menyumbang kepada penjimatan besar, sekali gus mengelakkan perbelanjaan sebanyak AS$12 bilion yang sebaliknya terpaksa ditanggung negara ini.









