API yang membakar tanah gambut di Kalimantan dan Sumatera mungkin jauh daripada pandangan tetapi kesannya sampai ke Malaysia.

Sepanjang Ogos hingga September, jerebu rentas sempadan menutup ratusan sekolah, memaksa ratusan ribu murid belajar dari rumah dan meningkatkan tekanan terhadap fasiliti kesihatan akibat masalah pernafasan.

Kementerian Kesihatan (KKM) memantau kesan jerebu melalui 78 fasiliti kesihatan sentinel. Antara minggu epidemiologi ke-32 dan ke-33, kes asma meningkat 259 peratus daripada 61 kepada 219 kes, manakala jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) melonjak 124 peratus kepada 3,674 kes.

Kes asma kemudian mencecah 1,811. Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar, menjelaskan zarah halus jerebu boleh mencetuskan keradangan saluran pernafasan dan melemahkan pertahanan paru-paru.