IPOH: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Perak diminta menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti punca lambakan rumah tidak terjual di negeri ini dan merangka strategi menanganinya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, sebanyak 4,075 unit rumah tidak terjual direkodkan di Perak setakat Jun lalu, dengan daerah Kinta, Sitiawan dan Hilir Perak mencatatkan jumlah tertinggi.

“Dalam mesyuarat Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), kita beri tugas kepada Rehda Perak untuk menjalankan kajian kerana Rehda Institute turut mengkaji beberapa isu perumahan termasuk unit yang tidak terjual.

“Kita berharap dengan kajian yang dibuat oleh Rehda Institute, ditambah dengan kajian yang memperincikan keadaan di Perak, dapat membantu kita mengenal pasti cadangan dan strategi yang boleh dilaksanakan bagi menangani isu unit rumah yang tidak terjual,” katanya.