PETALING JAYA: Harimau Malaya tidak boleh sekadar turun beraksi dengan apa yang ada, sebaliknya perlu menghimpunkan barisan terbaik setiap kali jendela antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dibuka jika mahu memburu kemenangan dan melonjakkan kedudukan ranking dunia.

Pengendali interim negara, Tan Cheng Hoe menegaskan, kehadiran pemain utama yang berada pada tahap terbaik menjadi kunci membentuk pasukan lebih mantap, selain memastikan keserasian dan corak permainan dapat dipertingkatkan dari satu perlawanan ke perlawanan seterusnya.

“Jika kita mahu mengutip mata ranking dan memperoleh keputusan positif, pasukan kebangsaan perlu dibarisi pemain terbaik yang kita ada.

“Kehadiran tonggak utama amat penting, khususnya apabila jendela antarabangsa rasmi FIFA bermula,” kata Cheng Hoe.