Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh minta orang ramai teliti sendiri penghakiman mahkamah, termasuk keputusan menentang, sebelum buat penilaian. (Gambar Facebook)PETALING JAYA: Kemarahan di media sosial dan penghakiman menerusi pendapat umum semakin mengancam kebebasan badan kehakiman, kata Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang menggesa para hakim agar menumpukan usaha menegakkan keadilan berbanding meraih sokongan umum.

Beliau menegaskan badan kehakiman perlu membezakan antara keyakinan awam, yang wajar diraih, dengan restu masyarakat, yang tidak patut dikejar sama sekali.

“Tugas kita sebagai hakim bukan untuk jadi popular. Tanggungjawab kita adalah membuat keputusan yang betul,” katanya dalam syarahan akademik bersama mahasiswa undang-undang di Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, mengenai keupayaan badan kehakiman mendepani mahkamah pendapat umum.