Individu yang terlibat dalam kegiatan keganasan lazimnya menolak pegangan agama arus perdana, kata bekas timbalan KPN Ayob Khan.PETALING JAYA: Kanak-kanak seawal usia 12 tahun telah direkrut oleh golongan ekstremis menerusi permainan dalam talian seperti Roblox, walaupun pengaruh kumpulan IS dilihat semakin lemah, kata pakar pembanterasan keganasan, Ayob Khan Mydin Pitchay.

Golongan ekstremis akan mendekati kanak-kanak di platform permainan untuk berkawan, dan kemudian memasukkan mereka ke dalam kumpulan tertutup, di mana mereka diasuh dan dididik untuk melancarkan serangan, kata Ayob, bekas timbalan ketua polis negara yang pernah mengetuai bahagian antipengganas di Bukit Aman.

"Baru-baru ini kita tangkap budak-budak berumur 12, 14 dan 15 tahun. Mereka mula direkrut melalui permainan seperti Roblox, kemudian masuk ke kumpulan lain yang berasingan. Di situlah mereka diasuh dan dididik untuk melancarkan serangan keganasan," katanya lapor Malaysia Gazette.